KUALA LUMPUR: Walaupun sistem pendidikan negara kini berada pada landasan yang baik, namun kaedah pengajaran guru perlu ditambah baik agar selaras dengan perkembangan teknologi, khususnya penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya dahulu telah meletakkan asas yang kukuh dalam sistem pendidikan negara.
“Namun dengan adanya AI, kaedah dan pendekatan pengajaran guru perlu disesuaikan agar lebih relevan dan berkesan,”:katanya ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional 1.0 (RIMBUN 1.0) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Dalam Era AI dan Pemerkasaan Institusi Guru, yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mengenai sistem peperiksaan, Mahdzir turut menyokong cadangan untuk mengembalikan semula peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi memastikan mutu serta kecemerlangan pelajar terus terjamin.
Tegasnya, walaupun Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan kokurikulum yang dijalankan oleh guru mempunyai nilai tersendiri, negara perlu mengekalkan sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional antara Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi menilai prestasi menyeluruh pelajar.
“Penilaian sekolah dan kokurikulum memang penting, tetapi saya percaya perlu ada sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional untuk menilai prestasi keseluruhan pelajar,” katanya.
Program RIMBUN 1.0 adalah anjuran Pemuda UMNO yang turut menampilkan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang yang juga bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin, sebagai ahli panel. – Majestic
