JOHOR BAHRU: Bomba menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Sukun, Kampung Pengkalan Rinting di sini petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Muhd Fauzi Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.25 petang.
“Kejadian berlaku berhampiran Surau Al-Mukmin dan seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya sembilan kilometer.
“Setibanya pasukan operasi mendapati seorang lelaki berusia 70 tahun yang mengalami masalah kaki dan tidak dapat berjalan telah terperangkap dalam banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak bomba melakukan kerja-kerja memindah dan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan sebuah bot fiber dengan membawanya kepada keluarga warga emas tersebut. – Majestic
