Berikut kenyataan penuh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi:
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor
- Susulan insiden pencemaran kekeruhan di Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi pada 31 Oktober 2025 yang telah menyebabkan isu gangguan bekalan air yang berlaku kini telah pulih sepenuhnya. Setakat jam 9.00 malam, 5 November 2025, semua akaun pengguna telah kembali menerima bekalan air seperti biasa.
- Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin memohon maaf kepada seluruh Bangsa Johor yang terkesan akibat kejadian ini. Gangguan selama lima hari bukan perkara kecil, ia menjejaskan kelangsungan hidup rakyat, mengganggu aktiviti keluarga, operasi sekolah, hospital dan premis perniagaan. Kerajaan Negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut.
- Bagi meringankan beban mereka yang terjejas, Kerajaan Negeri bersetuju mengumumkan bantuan rebate 15% daripada bil air bagi bulan Oktober 2025. Diskaun ini merangkumi 292,158 akaun domestik dan bukan domestik, termasuk rumah kediaman, rumah ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan, sebagai penghargaan kepada kesabaran rakyat menghadapi dugaan ini.
- Saya menyedari bahawa bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kesusahan yang telah dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan agar insiden seperti ini tidak berulang.
- Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan termasuk Ranhill SAJ yang telah bekerja tanpa henti selama lima hari berturut-turut, serta kepada rakyat Johor yang telah menunjukkan tahap kesabaran, kerjasama dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam menghadapi situasi ini.
- Pasukan lapangan masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh di beberapa lokasi bagi memastikan kestabilan tekanan dan aliran bekalan air. Fokus utama kini tertumpu kepada penyelesaian isu airlock, tekanan rendah serta bekalan tidak stabil (intermittent supply), bagi memastikan bekalan air yang diterima rakyat benar-benar stabil dan berkualiti tinggi.
- Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sistem bekalan air negeri Johor, memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara, dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terjamin demi kemakmuran negeri yang kita cintai ini.o
Sekian, terima kasih
YAB DATO’ ONN HAFIZ BIN GHAZI
Menteri Besar Johor
