ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Shanghai Shenhua 3-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan itu sekali gus melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.
Bermain di laman sendiri, JDT bermula garang dengan asakan demi asakan pantas ke gawang lawan dalam usaha membuka jaringan.
Asakan-asakan berkenaan menyaksikan percubaan Ager Aketxe pada minit ketiga berjaya ditampan penjaga gol Shanghai Shenhua, Bao Yaxiong dan rembatan Oscar Arribas selepas itu sekadar menggegar tiang gol kanan pelawat.

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, pelawat mula bangkit mengasak ke gawang tuan rumah.
Namun asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan tuan rumah.
Minit ke-38 menyaksikan JDT hampir menjaringkan gol menerusi percubaan Nacho Méndez.
Bagaimanapun, percubaan itu berjaya ditampan Yaxiong sebelum rembatan susulan daripada Oscar Arribas sekali lagi gagal menepati sasaran apabila sekadar menggegar kan palang gol sebelum melantun keluar.
JDT kemudiannya sekali lagi hampir menjaringkan gol pada penghujung babak pertama, namun kali ini rembatan Arif Aiman Mohd Hanapi pula sekadar menggegar jaring luar gawang gol lawan dan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.
Menjengah ke babak kedua JDT dilihat semakin agresif dan strategi tersebut berjaya apabila hanya memerlukan dua minit bagi merobek gawang pelawat hasil jaringan Jonathan Silva.
Gol itu semakin menyemarakkan semangat skuad Harimau Selatan itu untuk terus mengasak ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
Hasilnya, Oscar Arribas meledak gol kedua pada minit ke-63 untuk skuad Harimau Selatan itu kian selesa di hadapan.
Skuad Tricolor itu bagaimanapun berjaya merapatkan jurang setelah pemain gantian, Saulo Mineiro menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 setelah rakan sepasukan dikasari.
Minit ke-88 menyaksikan JDT berjaya menambah satu gol lagi dan kali ini Jonathan mengasak hebat ke gawang pelawat dan hasilnya Jonathan Silva meledak jaringan ketiga buat skuad Harimau Selatan dan sekali gus mengesahkan kemenangan. – Majestic
