JAKIM sudah arah MFW tarik balik pengiktirafan ‘Muslim Choice’ – Menteri

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengeluarkan arahan supaya Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) menarik balik pengiktirafan label atau logo ‘Muslim Choice’ membabitkan produk yang dikeluarkan pertubuhan itu di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dengan mengeluarkan amaran keras kepada MFW.

“Sekiranya ada berlaku lagi pelanggaran selepas amaran ini dikeluarkan, maka pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mengambil tindakan atas kesalahan mengeluarkan logo halal tanpa ada kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai sama ada mahu menarik balik produk di pasaran yang menggunakan label atau logo ‘Muslim Choice’.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im juga memaklumkan MFW sudah diarahkan serta-merta supaya menghentikan penggunaan pengiktirafan logo, label atau sebarang bentuk kenyataan berkaitan ‘Muslim Choice’ yang disifatkan boleh mengelirukan masyarakat di negara ini.

“Penggunaan apa-apa logo, perakuan atau sebarang kenyataan yang membawa maksud ‘Muslim Choice’ atau mana-mana istilah, ungkapan, perihal, representasi, promosi atau seumpamanya yang boleh mengelirukan pengguna serta membawa maksud halal adalah salah dengan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

“Sehubungan itu, MFW sudah diarahkan serta-merta untuk menghentikan penggunaan pengiktirafan, logo, label atau sebarang bnentuk kenyataan berkaitan ‘Muslim Choice’ yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, JAKIM menegaskan, penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ yang diperkenal oleh MFW bukanlah perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama. – BH

More From Author

Dadah RM11.47 juta dirampas, sindiket lumpuh

America de Cali tamatkan kontrak Holgado?