WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggantung pembiayaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga pembaharuan dilaksanakan dalam organisasi itu, kata Duta AS ke PBB, Mike Waltz.
“Presiden telah menggantung pembiayaan daripada Amerika… Kita menahan dana ini hingga pembaharuan dapat dilihat,” kata Waltz kepada portal berita Breitbart, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Waltz berkata, tiada Presiden AS yang lain pada abad ke-21 pernah berbuat sedemikian.
Beliau menegaskan PBB sudah mengurangkan bajetnya sebanyak 15 peratus.
“Kita juga telah memotong 18 peratus daripada jumlah kakitangan mereka, serta 25 peratus daripada pasukan pengaman global.
“Setiausaha Agung PBB mengemukakan pelan pembaharuan dinamakan UN80 – sempena ulang tahun ke-80 PBB – untuk menyatukan beberapa agensi yang dianggap tidak terkawal.
“Beliau akan mengurangkan kos pentadbiran yang membazir. Kita memberikan pendekatan ‘tough love’ kepada PBB demi menyelamatkan organisasi itu daripada kelemahannya sendiri dan memacu perubahan.
“Presiden tahu bagaimana menggunakan pengaruh itu, dan tugas saya ialah memastikan PBB melaksanakannya,” katanya.
Pada 2 Mei lalu, dalam draf bajet bagi tahun fiskal 2026, Trump mencadangkan supaya pembiayaan untuk operasi Pengaman PBB dihentikan atas alasan ia tidak berkesan serta membebankan AS.
Beliau turut mencadangkan agar kebanyakan sumbangan wajib dan juga semua sumbangan sukarela kepada badan-badan PBB termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) serta bajet tetap organisasi itu digantung. – AGENSI
