Shasha Abedul perjelas babak tanpa hijab dirakam sebelum berhijrah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shasha Abedul, 29, menjelaskan penggambaran filem terbaharu lakonannya, Malam Terlarang, dijayakan sebelum dia memutuskan untuk berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya.

Shasha yang mula berhijab pertengahan tahun lalu berkata, perubahan imej itu tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni, sebaliknya membuka lebih banyak ruang untuknya bereksperimen dengan watak berbeza.

“Penggambaran filem ini dijalankan pada Julai tahun lalu, sebelum saya berhijrah.

Jadi untuk mereka yang menonton filem ini, saya ingin maklumkan bahawa ketika itu saya masih belum bertudung.

‘Shooting’ ini sudah lama, hampir setahun berlalu dan baru kini ditayangkan,” katanya ditemui pada malam gala filem Malam Terlarang di GSC Mid Valley Megamall, di sini, baru-baru ini.

Filem arahan Nurhanisham Muhammad itu memberikan pengalaman baharu buat Shasha yang pertama kali menjayakan filem bergenre seram.

Selain memerlukan kekuatan fizikal, watak Mawar yang dibawanya turut menuntut penghayatan emosi mendalam dan komitmen tinggi sepanjang 28 hari penggambaran.

“Watak Mawar berat dari segi emosi dan fizikal. Untuk menampakkan keletihan watak itu, saya sengaja tidak tidur di set supaya benar-benar nampak lesu.

Penggambaran pula dijalankan dari jam 6 petang hingga awal pagi, ada kalanya sampai 12 jam. Ini pengalaman baharu bagi saya sebab tak biasa bekerja waktu malam.

Tapi daripada situ saya belajar banyak perkara, termasuk soal disiplin dan ketahanan diri,” katanya.

Berkongsi pengalaman pelik, Shasha turut mendedahkan pernah berdepan kejadian mistik sepanjang penggambaran yang dijalankan di kawasan paya bakau yang sunyi dan terpencil.

“Saya sendiri pernah alami gangguan. Paling saya ingat, satu malam saya dengar suara seperti pembantu pengarah memanggil nama saya untuk bersiap di set.

Tapi bila saya tanya semula, orang itu kata dia tak pernah panggil pun. Memang meremang,” cerita Shasha.

Malam Terlarang membawa mesej mendalam mengenai “Bila Bertuhankan Nafsu”, menggambarkan bagaimana manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak duniawi.

Berlatarkan era 1980-an, naskhah ini menyorot kehidupan sebuah keluarga sarat rahsia merentas generasi. Watak utama, Mawar, gadis berusia 18 tahun, terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, sementara bapanya, Omar, sibuk dengan dunia politik.

Namun, selepas kematian mengejut kakaknya, Safar, Mawar mula diganggu pelbagai kejadian paranormal, sekali gus mendorongnya mencari punca sebenar di sebalik tragedi itu.

“Watak Mawar mencerminkan kekuatan seorang wanita muda yang berdepan konflik dalaman dan trauma. Ia bukan kisah ‘hantu’ semata-mata, tetapi lebih kepada perjalanan jiwa,” katanya.

Selain Shasha, Malam Terlarang turut dibintangi Zul Ariffin, Datin Sofia Jane, Sabri Yunus, Hasnul Rahmat dan Sharifah Haneesya.

Filem terbitan Tanahair Films itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober lalu. – BH

More From Author

Israel beri amaran akan tingkatkan serangan terhadap Hizbullah di Lubnan

Ketua peguam tentera Israel letak jawatan selepas dedah bukti rogol tahanan Palestin