Israel beri amaran akan tingkatkan serangan terhadap Hizbullah di Lubnan

BAITULMAQDIS: Israel memberi amaran keras bahawa mereka akan meningkatkan operasi ketenteraan di Lubnan, bagi melumpuhkan kumpulan Hizbullah yang disokong oleh Iran.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menuduh kumpulan itu cuba mengangkat senjata semula dan mendesak Beirut untuk melucutkan senjata mereka.

Netanyahu mengulangi amaran tersebut dengan menekankan bahawa Israel mahu kerajaan Lubnan memenuhi komitmen mereka.

“Sudah jelas kami akan melaksanakan hak kami untuk mempertahankan diri di bawah syarat-syarat gencatan senjata,” katanya, sambil berikrar Israel tidak akan membiarkan Lubnan menjadi medan hadapan baharu menentang mereka.

Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai pada November 2024 selepas konflik selama dua bulan, Israel masih mengekalkan tenteranya di lima kawasan di selatan Lubnan dan meneruskan serangan berkala.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata, komitmen kerajaan Lubnan untuk melucutkan senjata Hizbullah dan mengeluarkannya dari selatan Lubnan perlu dilaksanakan.

“Penguatkuasaan maksimum akan diteruskan dan akan diperhebat, kami tidak akan membenarkan sebarang ancaman kepada penduduk di utara,” katanya dalam satu kenyataan.

Konflik itu tercetus selepas Hizbullah mula menembak roket ke Israel berikutan tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023, menyebabkan ribuan rakyat Israel yang tinggal berhampiran sempadan utara terpaksa berpindah keluar dari rumah mereka selama berbulan-bulan.

Baru-baru ini, ketegangan memuncak semula selepas serangan maut oleh tentera Israel ke selatan Lubnan pada Khamis lalu. Serangan ini menyebabkan Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengarahkan tenteranya untuk berhadapan dengan pencerobohan sedemikian.

Aoun, yang sebelum itu menggesa perbincangan dengan Israel, kemudiannya menuduh Israel bertindak balas terhadap tawaran damainya dengan meningkatkan serangan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel pada Sabtu lalu, menyebabkan empat maut di daerah Nabatiyeh.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dan mendakwa mereka berjaya membunuh seorang ahli Pasukan Radwan Hezbollah di selatan Lubnan yang terbabit dalam pemindahan senjata dan usaha membina semula infrastruktur pengganas kumpulan itu. Tiga lagi ahli kumpulan itu turut terbunuh.

Ratusan penduduk Nabatiyeh berkumpul semalam, untuk memberi penghormatan kepada ahli Hizbullah yang terkorban.

“Ini adalah harga yang dibayar oleh selatan Lubnan setiap hari. Kami telah tahu bahawa Israel adalah musuh kami selama berdekad-dekad,” ujar Rana Hamed, ibu kepada seorang yang terbunuh. – AFP

More From Author

Cklamovski dijangka guna muka sama hadapi Nepal

Shasha Abedul perjelas babak tanpa hijab dirakam sebelum berhijrah