Tetak abang ipar putus kepala: Suspek ada sejarah rawatan psikiatri akibat kemurungan sejak 2021

ALOR SETAR: Lelaki yang disyaki menetak abang iparnya sehingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun, Jumaat lalu, mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri di Hospital Alor Setar kerana mengalami kemurungan sejak 2021.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata namun suspek berusia 38 tahun dipercayai enggan makan ubat serta tidak mahu meneruskan rawatan psikiatri sejak kira-kira lima bulan lalu.

Justeru, beliau berkata, suspek disyaki mengalami halusinasi sebelum bertindak menetak abang iparnya yang berusia 45 tahun.

“Suspek mempunyai kad rawatan (psikiatri), namun dia dipercayai berhenti atau enggan menerima rawatan sejak empat hingga lima bulan lalu.

“Saya percaya ia lebih kepada halusinasi. Dia berkemungkinan mempunyai prasangka buruk terhadap mangsa, dipercayai akibat halusinasi susulan berhenti makan ubat serta enggan lagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Adzli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dengan kepalanya putus akibat ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, malam Jumaat lalu.

Polis turut menemui beberapa kesan tetakan pada badan mangsa, Nasir Md Nayan, selain menjumpai bahagian kepala yang putus itu kira-kira satu meter dari badan.

Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk punca dan motif kejadian.

Polis turut merampas sebilah parang sepanjang 30 sentimeter (sm) yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, untuk membantu siasatan. – BH

More From Author

Projek RTS siap 65 peratus

Ibu Zayn Rayyan rayu sabitan dan hukuman abai anak