35 maut, lima masih hilang banjir di Vietnam

HANOI: Hujan lebat luar biasa hingga menyebabkan banjir di kawasan tengah Vietnam minggu ini, mengorbankan 35 orang manakala lima lagi masih hilang, menurut pegawai pengurusan bencana, hari ini.

Hujan lebat melanda wilayah pantai Vietnam sejak hujung minggu lalu, merekodkan taburan hujan mencecah 1.7 meter dalam tempoh 24 jam antara Ahad dan Isnin lalu.

Menurut laporan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Tembok Penahan Vietnam (VDDMA), semua 35 mangsa dilaporkan berlaku di wilayah Hue, Da Nang, Lam Dong dan Quang Tri.

Kawasan Bandar Purba Hoi An yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), turut ditenggelami air paras pinggang selepas sungai utama di bandar itu melimpah ke paras tertinggi dalam tempoh 60 tahun.

“Semua orang masih terkejut selepas banjir. Penduduk memang bersiap sedia menghadapi banjir, tetapi mereka tidak menyangka paras air akan naik setinggi ini.

“Banyak rumah tidak sempat bersedia, menyebabkan banyak barangan rosak. Semua orang berasa tidak berdaya melihat kerosakan yang teruk,” kata penduduk Hoi An, Chuong Nguyen, 43.

Menurut VDDMA, lebih 16,500 rumah kini ditenggelami air, manakala lebih 40,000 ternakan dan unggas hanyut.

Selain itu, lebih 5,300 hektar tanaman juga ditenggelami banjir.

Awal minggu ini, Kementerian Alam Sekitar Vietnam memaklumkan lebih 100,000 rumah dinaiki air dan lebih 150 kejadian tanah runtuh dilaporkan.

Pakar sains menjelaskan perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir semakin dahsyat dan berisiko tinggi.

Vietnam terletak di satu daripada kawasan taufan tropika paling aktif di dunia dan sering mengalami hujan lebat antara bulan Jun hingga September.

Secara purata, 10 kejadian taufan atau ribut tropika melanda Vietnam setiap tahun, namun sehingga kini negara itu mengalami 12 kejadian bagi tahun ini sahaja. – AFP

More From Author

Trump teruja bertanding untuk penggal ketiga

Sweet Qismina, Adam Lee nafi rancang buat IVF