LONDON: Wolverhampton Wanderers dilaporkan memecat pengendali, Vitor Pereira, selepas permulaan buruk musim Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan pasukan itu masih buntu kemenangan dan tercorot carta liga, lapor media Britain, hari ini.
Kekalahan 0-3 kepada Fulham semalam tamparan terbaharu buat Wolves, sekali gus merekodkan 10 perlawanan liga tanpa kemenangan dengan hanya mengutip dua mata daripada maksimum 30 mata.
Lebih memeritkan, Wolves kini ketinggalan lapan mata daripada zon selamat, selain memiliki rekod jaringan paling sedikit dan benteng paling rapuh musim ini.
Pemecatan Pereira menamatkan tempoh 11 bulan dia bersama kelab itu selepas dilantik pada Disember 2024 menggantikan Gary O’Neil ketika Wolves berada di tangga ke-19.
Jurulatih dari Portugal itu pada musim lalu berjaya menyelamatkan Wolves daripada penyingkiran dengan mencipta enam kemenangan berturut-turut pada Mac dan April sebelum menamatkan saingan 17 mata di atas zon penyingkiran.
Meskipun permulaan musim ini hambar, Pengerusi kelab, Jeff Shi, sebelum ini tampil menyatakan sokongan terhadap Pereira dan malah menghadiahkannya kontrak baharu susulan kebangkitan luar biasa musim lalu.
Pemergian Pereira menandakan tahun keenam berturut-turut dia meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih.
Sejak 2020, dia melalui tempoh singkat di lima negara termasuk membimbing Shanghai SIPG, Fenerbahce, Corinthians, Flamengo dan Al Shabab sebelum ke Wolves. – REUTERS
