Yamal putus cinta, nafi curang

LONDON: Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal mengesahkan hubungannya dengan penyanyi Argentina, Nicki Nicole sudah berakhir susulan khabar angin mendakwa dia berlaku curang dengan seorang pempengaruh Itali.

Perkara itu didedahkan wartawan dan YouTuber Sepanyol, Javier de Hoyos, yang mendakwa menerima mesej daripada pemain berusia 18 tahun itu bagi menjelaskan kedudukan sebenar hubungan mereka.

Pasangan itu sebelum ini mengumumkan mereka sedang bercinta pada penghujung Ogos lalu apabila Lamine tampil bersama Nicki meraikan ulang tahun kelahiran penyanyi berkenaan yang ke-25, kira-kira sebulan selepas mereka dirakam berciuman di sebuah kelab malam.

Javier, yang sebelum ini menjadi individu pertama melaporkan hubungan mereka, berkata dalam program hiburan D Corazon di saluran La 1 – setara BBC1 di UK: “Lamine Yamal baru sahaja menghantar mesej kepada saya. Ini eksklusif.

“Lamine memaklumkan dia dan Nicki Nicole, seperti yang kita tahu adalah kekasihnya, kini sudah tidak bersama lagi”.

Sambil membaca mesej di telefon bimbitnya, Javier berkata: “Dia menjelaskan bahawa perpisahan itu bukan disebabkan kecurangan. Kami berpisah secara baik, itu sahaja. Semua dakwaan yang tersebar tidak ada kaitan dengan hubungan kami.

“Yamal turut menegaskan bahawa perjalanannya ke Itali tiada kaitan dengan perpisahan itu, malah ketika dia berada di sana, hubungan mereka sudah pun berakhir dan dia tidak bersama sesiapa.”

Setakat ini, baik Yamal mahupun Nicki belum mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial masing-masing walaupun hampir 24 jam selepas pendedahan itu disiarkan. – AGENSI

More From Author

‘Baliklah Hadi, mak dan abah tak marah…’

Wolves pecat Pereira