KUALA LUMPUR: Tiket bagi kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2026 akan mula dijual pada 3 November ini, dengan tawaran promosi Early Bird yang menawarkan potongan harga khas kepada peminat yang membuat pembelian awal.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan jualan tiket akan dibuka mulai jam 2 petang menerusi laman sesawang www.ticket2u.com. my manakala promosi Early Bird akan berlangsung sehingga 30 November.
Kejohanan bertaraf Super 1000 itu dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 6 hingga 11 Januari 2026, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai antara acara sukan tahunan paling dinanti peminat tempatan dan antarabangsa.
“Berdasarkan pengalaman tahun-tahun lalu, kategori tiket popular biasanya habis dijual dalam masa singkat. Jadi kami menggalakkan peminat mendapatkan tiket awal dan merebut peluang promosi ini,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
BAM turut mengekalkan kadar harga tiket yang sama seperti edisi tahun ini sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan luar biasa peminat badminton tempatan.
Tiket Early Bird boleh didapati untuk semua kategori harian, manakala pas musim (season pass) bagi menyaksikan aksi sepanjang minggu ditawarkan pada harga antara RM282 hingga RM2,000, bergantung kepada kategori tempat duduk.
Sebagai antara empat kejohanan Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Terbuka Malaysia kekal sebagai pentas penting yang menghimpunkan pemain terbaik dunia serta menarik ribuan penonton setiap tahun.
Tumpuan pastinya terarah kepada Chen Tang Jie–Toh Ee Wei selaku juara dunia beregu campuran, di samping bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta naib juara dunia 2024 Pearly Tan-M Thinaah, yang bakal mengemudi cabaran negara di hadapan penyokong sendiri. – BH
