Kerajaan tidak tolak ansur sebarang fitnah cemar institusi pondok – Mohd Na’im

BANGI: Kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang fitnah yang mencemarkan usaha mengembangkan syiar Islam di negara ini, termasuk usaha mempertahankan institusi pondok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan saman yang dikemukakan beliau terhadap seorang pengguna media sosial yang menuduh kerajaan menutup sekolah pondok di Kelantan dan Kedah perlu dijadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.

Katanya, beliau membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial berkenaan dan peguamnya akan mengambil tindakan susulan.

“Tuduhan itu sangat serius. Kerajaan MADANI ini memang bersungguh-sungguh untuk membangunkan sekolah institusi pondok dan ia adalah antara agenda terpenting Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita dapat lihat bagaimana beliau menyantuni guru pondok di seluruh negara.

“Jadi, apa yang dituduh oleh individu itu langsung tidak berasas dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main, dan sebab itu saya ambil tindakan untuk memulakan tindakan saman terhadap individu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Peluncuran Modul Mini Tahfiz Al Falah di Kompleks Pendidikan Islam Bangi di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Na’im dilaporkan menuntut seorang pengguna laman Facebook menarik balik tuduhan dan memadamkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berhubung isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.

Jika individu terbabit, yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz Sahidi gagal menarik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam, Mohd Na’im menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang.

Ia termasuk bagi mendapatkan perintah injunksi dan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, termasuk kos, faedah dan sebarang tanggungan yang diperintahkan mahkamah.

Sementara itu, Mohd Na’im memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini dalam proses memuktamadkan empat modul tahfiz yang akan digunakan di sekolah menengah tahfiz seluruh negara.

Katanya, bagi peringkat sekolah rendah, Modul Mini Tahfiz Al-Falah boleh diteliti untuk menjadi sebahagian daripada modul peringkat nasional bagi tahap itu.

“Sudah tentu ia akan menjadi satu sumbangan penting ke arah melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional di negara kita ini, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Na’im, berkata Modul Mini Tahfiz Al-Falah yang dibangunkan Sekolah Rendah Islam Integrasi Bangiku (SRIIB) merangkumi 41 surah dan tiga ayat pilihan, yang disusun selaras dengan silibus JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, kaedah hafazan dalam modul berkenaan berasaskan pendekatan takrir (ulangan), tasmi’ (semakan), muraja’ah (ulangkaji) dan tahriri (penulisan), bagi memastikan hafazan lebih kukuh dan menyeluruh, bukan hanya di bibir tetapi terpahat dalam ingatan dan hati.

“Pelaksanaan modul ini diharap memberi impak besar kepada masyarakat, antaranya

melahirkan murid yang menjadi pemangkin kepada keluarga dan komuniti untuk mendekatkan diri kepada al-Quran.

“Selain itu, memperkasa pendidikan agama dengan pendekatan sistematik yang melengkapkan sistem akademik sedia ada,” katanya. – BH

More From Author

Singapura, Thailand eksport elektrik ke Malaysia ketika bekalan terjejas – TPM Fadillah

Tiket Terbuka Malaysia 2026 mula dijual 3 November