Rasa seperti dilahirkan semula – Mualaf

JOHOR BAHRU: Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah Mei lalu, seorang pemuda mualaf memgakui seperti dilahirkan semula.

Muhammad Darshanan Sabapathy, 22, memgakui tidak dapat menggambarkan perasaannya selepas bergelar saudara baharu dan nekad menikahi teman wanitanya, Syafina Shamsuddin, 25, selepas kira-kira tiga tahun berkenalan.

Mereka bersyukur kerana merupakan antara 15 pasangan pengantin baharu dinikahkan dalam Majlis Nikah Jama’i Karnival Mahabbah Rangkaian Masjid An-Nur (RMA) 2025 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur).

Karnival selama tiga hari itu menyediakan aktiviti menarik untuk seisi keluarga seperti pameran korporat, Food Fest, Coffee & Dessert Fest, kursus umrah, pertandingan Sahibba Jawi, pelupusan Al-Quran, perkhemahan, persembahan nasyid dan tausiah.

Muhammad Darshanan berkata, inisiatif tersebut membantu mereka memudahkan urusan perkahwinan dengan kos yang rendah.

Mereka bersyukur perkenalan itu berjaya disatukan dalam ikatan suci pernikahan selepas terpikat dengan sifat isteri yang penyayang dan mengambil berat.

“Inisiatif ini sangat membantu kami, selain menjimatkan kos, banyak keperluan juga tersedia termasuk jamuan untuk ahli keluarga,” katanya yang menetap di Kulai.

Sementara itu, Ketua Divisyen Tadbir Urus Waqaf An-Nur, Mohd Aris Amin berkata, 15 pasangan pengantin itu daripada kalangan saudara baharu, asnaf dan golongan B40.

Katanya, inisiatif itu bukan sekadar menyemarakkan semangat kekeluargaan Islam, tetapi memberi peluang kepada pasangan kurang berkemampuan melangsungkan pernikahan dalam suasana yang penuh berkat dan bermakna.

“Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 bagi penyertaan majlis ini serta diberi peluang membawa 18 ahli keluarga terdekat untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah mereka,” katanya.

Menurut Mohd Aris, pasangan pengantin ini juga menerima asas majlis termasuk penyediaan pelamin, jamuan serta cenderahati perkahwinan.

“Majlis yang dianjurkan sempena sambutan 25 Tahun penubuhan Waqaf An-Nur bertujuan juga mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat komuniti ummah,” katanya. – Majestic

More From Author

4 termasuk remaja maut dalam kemalangan

Johor setuju hukuman rotan dikembalikan