Liverpool tempang tanpa Isak

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, memberitahu penyerang utama, Alexander Isak, mungkin tidak dapat diturunkan menjelang aksi menentang Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu ini, ketika The Reds berdepan misi menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut.

Slot berkata, kecederaan pangkal paha yang dialami penyerang antarabangsa Sweden itu ketika kemenangan 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu, tidak terlalu serius namun statusnya masih tanda tanya.

Selain Isak, Liverpool turut berdepan kebimbangan terhadap pemain tengah, Ryan Gravenberch, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dan mungkin kembali direhatkan.

Ketika ini, Liverpool menghuni tangga ketiga liga selepas tewas berturut-turut kepada Crystal Palace, Chelsea dan Manchester United, dan Slot mengakui pasukannya perlu segera menyesuaikan diri dengan corak taktikal baharu yang digunakan oleh lawan.

“Saya cuba jelaskan kepada pemain bahawa perbezaan besar musim ini berbanding musim lalu ialah gaya permainan lawan yang kami hadapi.

“Dalam tujuh perlawanan pertama, kami berdepan 178 hantaran jauh, dan menentang United saja, kami perlu bertahan daripada 59 hantaran jauh, itu sesuatu yang berbeza,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Slot, kunci untuk menewaskan pasukan yang bermain secara bertahan dan menggunakan corak serangan langsung ialah melalui gerakan individu atau situasi bola mati.

“Cara untuk membuka ruang lawan seperti itu adalah melalui detik magis seperti yang banyak kami dapat daripada Mo (Salah) musim lalu atau menerusi sepakan penjuru.

“Dua gol daripada situasi bola mati menentang Frankfurt minggu ini membuktikan ia masih menjadi senjata penting kami,” ujarnya.

Slot dalam masa sama menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai taktikal United bukan bertujuan mengkritik, sebaliknya satu pujian kepada pengurus mereka, Ruben Amorim.

“Saya cuba jelaskan bahawa itu sebenarnya pujian kepada Amorim kerana berjaya mencari jawapan terbaik terhadap gaya permainan kami. Cuma mungkin kenyataan itu disalah tafsir,” katanya. – REUTERS

More From Author

Amorim buru kemenangan hatrik

Trump sedang timbang untuk gesa Israel bebaskan pemimpin Palestin, Marwan Barghouti