Muhyiddin masih layak jadi PM

JOHOR BAHRU: Dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak layak menyandang jawatan Perdana Menteri adalah tidak berasas.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kenyataan itu tidak menghormati jasa dan sumbangan besar Muhyiddin terhadap parti dan negara.

“Muhyiddin terbukti sebagai pemimpin berwibawa ketika menerajui negara dalam situasi getir termasuk krisis kesihatan dan ekonomi global dengan menolak amalan rasuah serta mengutamakan kepentingan rakyat.

“Rekod bersih serta ketegasan beliau mempertahankan prinsip menjadikan Tan Sri Muhyiddin masih antara tokoh paling diyakini untuk menerajui negara sekiranya diberi mandat,” katanya dalam saru kenyataan,di sini hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut menegaskan, perbahasan mengenai kepimpinan parti sepatutnya dihentikan selepas keputusan dibuat Lembaga Disiplin Bersatu dan sebarang pandangan perlu disalurkan melalui saluran rasmi parti.

“Mengeluarkan kenyataan menyerang kepimpinan hanya melemahkan perpaduan dan memberi ruang kepada musuh politik,” katanya.

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, ahli parti perlu menunjukkan disiplin dan kesetiaan serta bukan membina populariti melalui serangan terbuka.

Beliau menambah, bekas ahli parti seperti Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal tidak lagi mempunyai locus standi untuk menilai dasar atau kepimpinan parti setelah dipecat dan digantung.

Jelasnya, keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang menamakan Muhyiddin sebagai calon tunggal Perdana Menteri ke-11 dibuat berdasarkan merit, pengalaman dan dapatan kajian, bukan emosi atau kepentingan peribadi.

Katanya, Muhyiddin mempunyai rekod luas dalam pentadbiran negara termasuk menerajui 11 kementerian serta pernah menjadi Menteri Besar Johor.

“Jika dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau hanya pernah berada di lima kementerian dan tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri.

“Pengalaman Muhyiddin mengurus krisis besar ketika pandemik Covid-19 turut mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk WHO dan Bank Dunia,” ujarnya.

Beliau seterusnya memetik dapatan Institut MASA pasa Julai lalu yang menunjukkan tahap kepuasan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebanyak 41 peratus, berbanding Anwar Ibrahim (30 peratus), Hamzah Zainudin (16 peratus) dan Ahmad Zahid Hamidi (15 peratus).

Dalam kategori calon Perdana Menteri pula ujarnya, Muhyiddin mendahului dengan 33 peratus, diikuti Anwar (26 peratus), Zahid (14 peratus) dan Hamzah (13 peratus).

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful Wan serta menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini. – Majestic

More From Author

Gara-gara kicap, pembantu rumah didera majikan

PTPTN: Bayaran balik meningkat susulan sekatan perjalanan gagal lunas hutang tahun depan