Forest pecat Postecoglou

NOTTINGHAM: Nottingham Forest bertindak drastik memecat pengurus, Ange Postecoglou sejurus selepas kekalahan 0-3 kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Forest jatuh ke tangga ke-17 liga, hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran, sekali gus menamatkan tempoh singkat Postecoglou yang gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan pertamanya bersama kelab Midlands itu, rekod terburuk dalam sejarah pengurus Forest.

Tanda-tanda pemecatan itu sudah kelihatan lebih awal apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis, dilihat meninggalkan tempat duduk VIP ketika kedudukan masih 0-2 pada babak kedua.

Sorakan boo bergema sebaik wisel penamat ditiup, manakala Postecoglou hanya mampu berdiri keseorangan di tengah padang sambil bertepuk tangan kepada segelintir penyokong yang masih kekal di stadium.

Dalam perlawanan itu, Pedro Neto menjadi wira Chelsea apabila menyumbat satu gol dan satu bantuan jaringan dalam tempoh tiga minit, masing-masing untuk Josh Acheampong pada minit ke-49 dan dirinya sendiri pada minit ke-52.

Walaupun kehilangan Malo Gusto yang dilayangkan kad merah di hujung permainan, skuad Enzo Maresca tetap mengekalkan gawang daripada dibolosi, kali pertama sejak Ogos lalu, sekali gus melonjak ke tangga keempat liga.

Forest yang melakukan lima pertukaran berbanding aksi sebelum ini sebenarnya bermula garang di separuh masa pertama tetapi gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan, termasuk dua percubaan Morgan Gibbs White yang tersasar.

Chelsea yang tampil dengan barisan tengah baharu tanpa Cole Palmer dan Enzo Fernandez, serta Moises Caicedo di bangku simpanan, hampir membuka tirai jaringan menerusi Andrey Santos namun percubaannya tersasar.

Maresca yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton kerana digantung satu perlawanan dilihat menutup muka apabila tiga kesilapan berturut-turut hampir menghadiahkan gol kepada tuan rumah, tetapi Forest tetap gagal memanfaatkannya.

Gol ketiga Chelsea hadir pada minit ke-79 apabila sepakan penjuru Neto gagal ditangkap kemas penjaga gol Matz Sels, sebelum bola muntah disambar Reece James bagi melengkapkan kemenangan bergaya pelawat.

Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan peluang Postecoglou mempertahankan jawatannya, malah membuka laluan kepada pengurusan Forest untuk mencari pengganti baharu, dengan laporan di England menyebut nama Sean Dyche antara calon utama yang sedang dipertimbangkan. – REUTERS

More From Author

Janda dicekup bersama suami orang

Selangor belasah Negeri Sembilan