Kes bunuh pelajar Tingkatan Empat – Polis sahkan tiada unsur buli

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur buli dalam kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dibunuh pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata siasatan awal menunjukkan terdapat beberapa tikaman di badan mangsa yang dipercayai dibunuh di kawasan berhampiran tandas perempuan.

“(Setakat siasatan yang sudah dibuat) saya mengesahkan tiada unsur buli yang berlaku.

“Tetapi siasatan lanjut kita akan jalankan jika timbul perkara lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini BH melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di sini, maut dipercayai ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsudin turut memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) untuk bedah siasat.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Kita akan pergi kepada siasatan lanjut selepas ini. Masih terlalu awal untuk (mengenal pasti punca kejadian),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Pegawai penyiasat masih lagi di sekolah, saya belum dapat pastikan berapa lagi keterangan (yang diambil). Sudah pasti rakan-rakan mangsa atau suspek atau guru akan direkod dan diambil keterangan,” katanya. – BH

More From Author

Tiga bulan jadi KP Pendidikan, saya jumpa banyak perkara ‘disimpan bawah karpet’ – Mohd Azam

Kes buli di sekolah meningkat lebih 1,000 kes setiap tahun