ISKANDAR PUTERI: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva akan terus mencabar kemampuannua dalam perlawanan akan datang bagi membantu skuad itu melakar lebih banyak kejayaan.
Pemain berusia 34 tahun itu juga berazam untuk meledak lebih banyak gol buat JDT pada perlawnaan-perlawanan akan datang.
“Sejujurnya, saya tidak memikirkan soal berita yang ditulis mengenai saya ketika menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol kerana perkara pertama terlintas dalam fikiran adalah untuk membantu rakan sepasukan di atas padang.
“Ini kerana, sebagai pemain, saya perlu mencabar kemampuan diri dan menjadi pilihan ketua jurulatih.

“Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tidak, fokus saya adalah untuk membantu pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan antara JDT dan Bangkok United dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Setelah beberapa kali tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, Bergson kembali mengganas apabila meledak hatrik ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Bangkok United 4-0 dalam aksi ACC tersebut.
Satu lagi gol, dijaringkan Joao Figueiredo pada mint ke-52, juga menerusi lorongan cantik daripada Bergson.
Untuk rekod, ini merupakan hatrik kedua berturut-turut buat ‘mesin gol JDT’ ini setelah turut meledak hatrik ketika membenam Sabah FC pada aksi Liga Super di venue sama, minggu lalu.
Malah, Bergson yang sudah bersama-sama JDT sejak 2021 melakar sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan, mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin dengan 106 gol. – Majestic
