PONTIAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM225,600 dalam serbuan di sebuah jeti berhampiran Sungai Sanglang, Jalan Tebing Kiri, Ayer Baloi dekat sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, sepasukan pegawai Unit Risik Marin bersama-sama Bot Ronda RH71 melakukan intipan serta pemantauan sebelum menyerbu kawasan itu pada pukul 4 pagi dan menahan tiga individu.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 69 tahun serta menemui sejumlah bungkusan berwarna hitam berisi rokok tidak berkastam yang diletakkan di tepi jeti.

“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah kereta turut menemui beberapa bungkusan rokok tidak berkastam di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, belakang dan dalam but,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Pihaknya merampas 840 karton rokok keretek dan 100 karton rokok putih serta menyita sebuah bot fiber dan sebuah enjin sangkut jenis Yamaha 85hp.
Semua suspek ditahan bersama-sama barang rampasan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Majestic
