TOKYO: Kejohanan Dunia di Stadium Nasional Tokyo menyaksikan dua bintang olahraga, Armand Duplantis dan Sydney McLaughlin-Levrone mencuri tumpuan dengan prestasi luar biasa.
Duplantis sekali lagi membuktikan statusnya sebagai raja lompat bergalah apabila memecahkan rekod dunia buat kali ke-14, kali ini dengan lompatan 6.30 meter.
Atlet Sweden itu diraikan penuh meriah oleh ribuan penonton yang memenuhi stadium.
Malah, sambutan penuh emosi bersama rakan pencabar, ibu bapa serta teman wanitanya, Desire Inglander, turut menjadi sorotan.
“Saya rasa satu-satunya cara meninggalkan Jepun ialah dengan rekod dunia,” katanya selepas kejayaan berkenaan.
Bintang Amerika Syarikat (AS), Sydney McLaughlin-Levrone pula hampir memadam rekod dunia berusia empat dekad dalam acara 400 meter wanita.
Dia mencatat 47.78 saat yang menjadi catatan kedua terpantas dalam sejarah, hanya dipisahkan 0.18 saat daripada rekod lama 47.60 saat milik Marita Koch sejak 1985.
McLaughlin-Levrone yang sudah lama mendominasi acara 400m lari berpagar kini membuktikan dia juga kuasa besar dalam larian pusingan penuh.
Sementara itu, Melissa Jefferson-Wooden melakar sejarah apabila menjadi wanita AS kedua selepas Shelly-Ann Fraser-Pryce (2013) merangkul treble dalam acara pecut iaitu 100m, 200m dan 4x100m.
Catatan 10.61s dalam acara 100m menempatkannya ke tangga keempat terpantas dunia sepanjang zaman.
Oblique Seville, 24, menghadiahkan Jamaica pingat emas 100m lelaki dengan catatan 9.77s, sekali gus menyingkirkan Noah Lyles dan Kishane Thompson ke tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan itu dianggap sebagai kelahiran semula dominasi Jamaica selepas era Usain Bolt, yang turut hadir menyaksikan detik bersejarah berkenaan. – AGENSI
