JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta mengemas kini sistem MyKad terlebih dahulu sebelum melaksanakan kaedah mengisi minyak menerusi sistem subsidi RON95 menggunakan kad pengenalan yang dijangka bermula hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd. Ridhwan Othman berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan sistem baharu itu nanti lancar, cepat dan tidak mempunyai birokrasi apabila dilaksanakan.
“Kita lihat dan dapati cip-cip yang ada pada MyKad pada masa kini mempunyai masalah dan memberi kesan sampingan kepada pengguna dalam urusan seharian mereka.
“Kerajaan perlu buat kajian atau tinjauan terlebih dahulu sama ada pro dan kontra jika ingin membuat satu-satu sistem pelaksanaan agar ia dapat beroperasi dengan baik, lancar serta berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai agar memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik berikutan pelaksanaan sistem pengesahan subsidi RON95 yang akan bermula pada hujung bulan ini. – Majestic
