KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dalam masa terdekat berhubung kemungkinan parti itu bekerjasama atau menyertai Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, perkara itu akan diteliti secara terus dengan Vigneswaran bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Saya akan tanya beliau sendiri,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Ensiklopedia Terbitan DBP serta Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penterjemah dan Pentashih di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP di sini, hari ini.
Isnin lalu, Vigneswaran, tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan isu itu.
Beliau menyifatkan jemputan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ‘merisik’ dan menegaskan MIC akan meneliti perkara itu secara berhati-hati sebelum memutuskan sebarang langkah.
Vigneswaran sebelum ini turut menegaskan hubungan MIC dengan PAS dan BERSATU tidak sama seperti permusuhan lama antara UMNO dan DAP.
Pada 12 September lalu, Tuan Ibrahim mendedahkan beberapa parti menyatakan minat untuk menyertai PN, namun enggan menamakan mereka ketika ditanya sama ada komponen BN termasuk dalam kalangan yang memohon.
Beliau berkata, permohonan itu termasuk parti yang mahu menjadi ahli penuh serta pihak yang hanya berminat menjadi rakan PN dan semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang. – BH
