KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bertarung selama satu jam 28 minit sebelum akur apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee di suku akhir Masters China sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu sebelum ini mengalahkan pasangan Korea itu dalam dua pertemuan terakhir mereka, termasuk di separuh akhir Terbuka Korea dan Terbuka Hong Kong tahun lalu, namun gagal mengulangi kelebihan tersebut kali ini.
Pada set pertama Pearly-Thinaah dikejutkan Ha Na-So Hee 21-23 sebelum bangkit di set kedua dengan melakar kemenangan 21-19 untuk mengheret ke set penentuan.
Dan kedua-dua beregu saling bertukar mata pada set penentuan sebelum Ha Na-So Hee yang berada di ranking ketujuh dunia mempamerkan ketenangan dan aksi lebih baik untuk mencatat kemenangan 22-20.
“Perlawanan hari ini lebih kepada mental. Dari segi fizikal, saya rasa semua orang letih. Hanya mental yang membuatkan kami terus bertahan di gelanggang.
“Pada akhirnya, saya rasa kami melakukan kesilapan. Kami terlalu tergesa-gesa dan kami mendahului pada mata akhir, mata penamat. Jadi, itulah perkara yang perlu kami bincangkan dan perbaiki lagi (selepas ini),” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam pada itu, Thinaah berkata, ketenangan dimiliki Ha Na-So Hee menjadi tunjang kepada kemenangan lawan.
“Saya rasa mereka lebih sabar daripada kami. Saya rasa itu perkara utama. Seperti yang Pearly katakan, kami juga tergesa-gesa menjelang akhir perlawanan. Jadi, saya rasa ini adalah pengajaran yang kami perlu ambil dan pelajari,” kata Thinaah.
Apapun, sejak Mei lalu, Pearly-Thinaah adalah antara pemain paling konsisten di pentas antarabangsa, memenangi Terbuka Thailand, muncul naib juara Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia, serta mara ke separuh akhir di Masters Malaysia, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong. – BH
