Kesukaran hidup jadi azimat Noor Haziq Affendi 

JOHOR BAHRU: Kesukaran hidup selepas kematian ibu bapa sejak enam tahun lalu menjadi azimat bagi Noor Haziq Affendi Abd. Azi  22, menamatkan pengajiannya.

Malah, hasil kegigihan dan kesungguhannya dalam menggenggam Diploma Kejuruteraan Mekanikal turut membanggakan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-30, di sini semalam.

Noor Haziq Affendi kehilangan ibu bapanya, Abd. Aziz Kamaruddin dan Salbiah Wahab akibat masalah kesihatan membuatkannya dirinya lebih berdikari.

“Meskipun saya ada mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun saya tetap membuat kerja sambilan dengan syarikat kawalan serangga sebagai duit tambahan.

“Setiap kali habis kuliah, saya akan buat kerja sambilan untuk tambah duit saku.

“Dengan gaji antara RM500 hingga RM800 sebulan, dapatlah saya biayai kos perbelanjaan harian dan beli keperluan pengajian,” katanya kepada selepas menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.

Meskipun merupakan anak bongsu, namun dia enggan menyusahkan tiga beradiknya yang lain kerana masing-masing telah mempunyai keluarga sendiri.

Hasil usaha keras dalam pengajian Noor Haziq Affendi yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Cawangan Pasir Gudang berjaya menamatkan pengajian dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.63.

Pada majlis konvokesyen hari ini, seramai 344 graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Bahan) dan
Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) menerima skrol masing-masing.

Anugerah dan skrol berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aito Fireworks Holdings Sdn. Bhd., Aswan Khamis yang juga Alumni PIS dan turut dihadiri Pengarah PIS, Ulaimi Yahya. – Majestic

More From Author

Dayang syukur Belagu II dinobat Album Terbaik AIM 24

Lima atlet kayak Sukma Johor terima diploma PIS