Peluang JDT takluk Asia diramal tipis

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Elit (ACLE), Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak perlu bekerja keras selepas diramal hanya memiliki lima peratus untuk menjulang trofi berprestij benua Asia itu.

Jangkaan itu didedahkan laman sesawang yang mahir dalam pengiraan mata ranking, FootyRankings yang membuat ramalan itu berdasarkan laman bola sepak terkenal, Opta Power Rankings.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik Asia dengan laman Opta Power Rankings menyenaraikan kelab itu pada kedudukan kelapan.

FootyRankings meramalkan kelab Arab Saudi bakal menjadi pilihan untuk menjuarai ACLE dengan Al-Hilal menjadi pasukan pilihan utama dengan 28 peratus.

Al-Ittihad pula diramal memiliki 17 peratus sementara juara bertahan, Al-Ahli dengn 16 peratus.

Tiga wakil Jepun pula iaitu Sanfreece Hiroshima dengan enam peratus disusuli Vissel Kobe dan Machida Zelvia masing-masing dengan lima peratus.

Wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shabab Al-Ahli turut memiliki lima peratus untuk memenangi ACLE musim ini.

Bagaimanapun, ramalan ini cuma peratusan di atas kertas kerana persembahan di atas padang pada hari perlawanan akan menjadi penentu kepada nasib pasukan masing-masing.

Sebagai rekod, JDT berjaya mencipta kejutan untuk mara ke pusingan kalah mati dalam dua edisi iaitu pada 2022 dan juga edisi lalu.

Pada edisi lalu yang menyaksikan Liga Juara-Juara (ACL) dijenamakan semula kepada ACLE, JDT memperaga aksi membanggakan apabila menamatkan saingan kumpulan di tangga ketiga Zon Timur.

Mereka akan membuka kempen ACLE musim ini menentang wakil Thailand, Buriram United yang menyingkirkan mereka pada pusingan 16 musim lalu, malam esok. – BH

More From Author

Bekas tahanan Guantanamo bernikah hari ini, azam mula hidup baharu bersama isteri

Marquez hampiri gelaran MotoGP ketujuh