MISANO ADRIATICO, Itali: Pelumba Ducati, Marc Marquez bangkit menebus kekecewaan dengan memenangi Grand Prix San Marino hari ini, sekali gus semakin hampir mengesahkan kejuaraan MotoGP musim ini.
Marquez, yang terjatuh ketika mendahului perlumbaan pecut semalam sehingga memberikan kemenangan kepada Marco Bezzecchi, tampil lebih garang apabila memintas pelumba Aprilia itu pada pusingan ke-12 selepas bermula dari barisan kedua. Sejak itu, juara dunia berusia 31 tahun itu tidak lagi menoleh ke belakang hingga ke garisan penamat.
Kemenangan ini adalah yang ke-11 buat Marquez musim ini, sekali gus melonjak jumlah mata keseluruhannya kepada 512 – rekod baharu untuk kutipan mata tertinggi dalam satu musim MotoGP.
Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez menamatkan saingan di tempat ketiga dengan jarak agak jauh di belakang dua pelumba utama. Dengan kelebihan 182 mata, Marc kini berpeluang untuk mengesahkan gelaran dunia ketujuhnya di Grand Prix Jepun hujung bulan ini. – REUTERS
