KUALA LUMPUR: Isteri pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahri tampil dengan perkongsian penuh bermakna di laman Instagram selepas mengharungi detik sukar dalam rumah tangga mereka.
Dalam hantaran terbaharu petang semalam, Nur Syazwani menitipkan kata-kata penuh emosi dan keinsafan mengenai hikmah di sebalik setiap ujian.
“Perancangan Allah sentiasa yang terbaik. Kadang-kadang prosesnya menyakitkan dan sukar. Tetapi jangan lupa bahawa apabila Dia berdiam diri, Dia sebenarnya sedang merancang sesuatu untukmu.
“Ingat! Hidup akan jadi jauh lebih mudah apabila kita sedar bahawa perancangan Allah sentiasa lebih baik daripada perancangan kita sendiri,” tulisnya.
Luahan berunsur ketabahan itu segera mencuri perhatian warganet, khususnya peminat bola sepak tempatan yang mengikuti rapat perkembangan Faisal sejak diuji dengan pelbagai cabaran termasuk krisis rumah tangga tahun ini.
Ruang komen di hantaran berkenaan pantas dibanjiri dengan doa serta ucapan semangat daripada penyokong, yang mengharapkan pasangan itu kekal tabah menghadapi dugaan rumah tangga.
Semalam, Faisal yang kini kembali bersama Selangor FC bagi menghadapi kempen Liga Super, memberikan bayangan hubungannya bersama isteri kembali pulih seperti sedia kala selepas membuat hantaran ringkas dengan kapsyen “Alhamdulillah” di laman sosial.
Perkongsian itu menyaksikan Faisal memuat naik sekeping gambar detik bahagia dia bersama isteri dan anaknya Khalish Aryan.
Nur Syazwani dilapor memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 2 September lalu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan ini berkahwin pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan – BH
