JOHOR BAHRU: “Negara jiran kita juga sudah ambil langkah sama, jika kita nak berkembang kita kena (lakukan naturalisasi).
Demikian tegas Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail.
Baginda menegaskan bukan sahaja lihat asal usul pemain atau warna kulit, namun yang penting adalah dedikasi mereka terhadap pasukan kebangsaan.
“Bagi saya secara peribadi, saya tiada masalah pemain itu datang dari mana, asalkan mereka ada darah dan ada kaitan dengan Malaysia,” titah baginda ketika ditemui di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.
Justeru, Pemangku Sultan Johor itu mahu peminat bola sepak tempatan ‘menggunakan’ baginda sepenuhnya demi kebaikan dan pembangunan sukan tersebut, khususnya melibatkan pasukan Harimau Malaya.
Langkah itu lebih baik berbanding dengan hanya berharap sukan bola sepak tempatan akan menjadi lebih baik tanpa penglibatan baginda.
“Satu dua bulan ini memang ada gerakan tidak mahu melihat perkara (program naturalisasi) berjaya, sasaran utama adalah saya. Mereka tidak boleh serang secara terus jadi mereka kritik Johor Darul Ta’zim (JDT), liga Malaysia dan pasukan kebangsaan.
“Saya akan kekal dan teruskan bekerja untuk majukan JDT dan menyokong pasukan kebangsaan dengan apa yang boleh. Jadi, adalah lebih baik kamu (penyokong bola sepak) gunakan saya sebaiknya,” titah baginda.
Baginda bertitah, penyokong bola sepak tempatan perlu membezakan saingan domestik dengan sokongan terhadap skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“JDT telah diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kita berada dalam 10 pasukan terbaik di benua ini, sepatutnya peminat bola sepak tempatan menyokong pencapaian itu.
“Tetapi disebabkan ‘rivalry’, mereka tak boleh bezakan saingan domestik dengan kepentingan peringkat kebangsaan, bagi saya kedua-dua perkara itu berbeza,” titah baginda. – MN
