LONDON: Anugerah Gol Terbaik Ogos untuk Fulham dimenangi pemain muda, Josh King meskipun jaringan berkenaan tidak dikira secara rasmi dalam perlawanan.
Dalam aksi tetangga membabitkan Chelsea dan Fulham sebelum rehat antarabangsa, Michael Salisbury ditugaskan sebagai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika skuad kendalian Enzo Maresca berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.
Namun, perlawanan itu tercemar dengan kontroversi susulan keputusan babak pertama yang menafikan gol pendahuluan Fulham.
Pada minit ke-20 ketika perlawanan masih tanpa jaringan, Sander Berge melorongkan bola kepada Rodrigo Muniz yang bijak melepasi kawalan Trevoh Chalobah sebelum membawa bola ke kawasan lawan.
Pemain Brazil itu kemudian melakukan hantaran kepada King yang pantas meledak gol, mencetuskan sorakan penyokong pelawat.
Namun, Salisbury segera mengarahkan pengadil, Robert Jones menyemak insiden terbabit menerusi monitor VAR.
Selepas semakan dilakukan, Jones membatalkan jaringan itu dengan alasan Muniz melakukan terjahan secara ‘cuai’ apabila secara tidak sengaja terpijak Chalobah dalam proses merencana serangan – satu keputusan yang disifatkan penyokong sebagai ‘tidak masuk akal’.
Ulangan rakaman menunjukkan sentuhan antara Muniz dan Chalobah adalah minimum, sekali gus menambahkan kekecewaan King yang terpaksa akur jaringannya dibatalkan.
Chelsea akhirnya meraih tiga mata menerusi jaringan Joao Pedro dan Enzo Fernandez sekali gus dan membuatkan pengendali Fulham, Marco Silva berang dengan keputusan terbabit.
Sekiranya jaringan itu dikekalkan, ia akan menjadi gol sulung King bersama skuad utama Fulham namun beliau tetap pulang dengan pengiktirafan apabila dianugerahkan Gol Terbaik Bulanan.
Fulham dalam satu kenyataan menyifatkan gol itu ‘dirampas secara kejam daripada pemain berusia 18 tahun itu’ dan mendedahkan King meraih 83.1 peratus undian. – AGENSI
