SEPANG: Kejayaan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, di Kejohanan Dunia Badminton 2025 di Paris diktiraf sewajarnya apabila masing-masing menerima insentif khas di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa kedua-dua pasangan diberi ganjaran istimewa susulan pencapaian bersejarah mereka yang pertama kali menyaksikan Malaysia meraih pingat emas dalam acara beregu campuran, dan perak dalam acara beregu wanita di kejohanan berprestij itu.
Tang Jie-Ee Wei menerima RM40,000 setiap seorang, manakala Pearly-Thinaah menerima RM20,000 setiap seorang.
“Dalam kadar ganjaran Majlis Sukan Negara selama ini mempunyai kadar berbeza untuk Kejohanan Dunia. Kejohanan Dunia badminton setahun sekali, ganjarannya kalau emas RM20,000 kerana bersifat tahunan.
“Mengambil kira Tang Jie-Ee Wei, Pearly-Thinaah memecahkan rekod kerana (Malaysia) tidak pernah sejarah dalam acara campuran dan wanita memenangi pingat perak di Kejohanan Dunia, kita membuat keputusan untuk memberi insentif khas kepada mereka.
“Tang Jie-Ee Wei setiap seorang terima RM40,000 untuk pingat emas mereka, Pearly-Thinaah setiap seorang terima RM20,000,” kata Hannah ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan skuad wusyu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah apabila menundukkan pilihan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa 40 minit untuk muncul juara dunia.
Sementara itu, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi cemerlang walaupun tewas kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 14-21, 22-20, 17-21 dalam aksi final yang sengit.
“Hasrat saya untuk melihat prestasi mereka di Kejohanan Dunia setiap tahun, boleh dapat keputusan sama (atau lebih baik) supaya ganjaran itu berulang kepada mereka,” kata Hannah. – BH
