KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana orang yang mempunyai kepentingan ke atas wang berjumlah RM169 juta didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hakim Suzana Hussin mengeluarkan warta pihak ketiga itu selepas mahkamah dimaklumkan Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, tidak berhasrat mencabar prosiding berkenaan.
Mahkamah mengeluarkan warta pihak ketiga terbabit mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.
Dalam kes berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Wang yang dimohon untuk dilucut hak oleh Pendakwa Raya itu terdiri daripada RM14,772,150; SG$6,132,350; US$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas berpuas hati wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Suzana dalam keputusannya berkata, mahkamah menerima maklum Mohammad Anuar selaku responden pertama dan Ismail Sabri selaku responden kedua tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.
“Saya benarkan untuk kita mengeluarkan satu warta pihak ketiga sekiranya terdapat pihak ketiga ada kepentingan terhadap harta-harta yang disenaraikan itu.
“Saya kekalkan tarikh bicara (untuk pihak ketiga hadir di mahkamah) pada 1 Oktober ini,” katanya.
Warta pihak ketiga merujuk kepada proses yang mana mahkamah mewartakan notis untuk memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada tarikh ditetapkan kemudian, bagi memberi alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah, responden pertama dan kedua melalui peguam belanya menghantar surat kepada mahkamah pada 28 Ogos lalu.
Beliau berkata, kandungan surat itu menyatakan responden pertama dan kedua tidak berhasrat meneruskan mencabar permohonan yang difailkan pihaknya.
“Mereka juga menyatakan tidak berhasrat hadir ke mahkamah bagi tarikh sebutan yang ditetapkan.
“Saya mohon mahkamah mengesahkan kandungan surat itu kepada kedua-dua responden,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata responden telah memaklumkan mahkamah pada 22 Ogos lalu, pihaknya menghantar representasi kepada Pendakwa Raya.
Amer Hamzah berkata, susulan itu, pihaknya memaklumkan mahkamah melalui surat bertarikh 28 Ogos dan turut mengesahkan kandungan surat tidak berhasrat meneruskan atau mencabar permohonan Pendakwa Raya.
Sehubungan itu, Mahadi memohon mahkamah mengeluarkan warta itu dan menyatakan untuk cuba menyegerakan proses berkenaan. – BH
