Inkues kematian Zara Qairina: Peguam ibu arwah lantik pakar tulisan tangan lain periksa dokumen

KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir melantik pakar tulisan tangan sendiri bagi memeriksa 21 dokumen yang dipercayai mengandungi tulisan tangan arwah.

Peguam Rizwandean M Borhan, berkata pihaknya sudah memohon kepada Mahkamah Koroner supaya pakar yang dilantik mereka dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap semua dokumen itu.

Beliau yang ditemui media selepas prosiding inkues kematian arwah Zara Qairina hari ini, berkata masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen itu selepas Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan sebagai saksi kedua, hari ini.

“Hari ini saksi pakar tulisan tangan dari Jabatan Kimia memberi keterangan mengenai beberapa dokumen yang dikatakan diari, ada juga cebisan kertas, ada juga cebisan daripada buku. Buku teks sekolah pun ada juga, yang beratus muka surat.

“Perkara penting hari ini ialah belum ada keputusan atau belum dapat dipastikan tulisan-tulisan ini ditulis oleh mana-mana pihak yang dikenali ataupun oleh arwah sendiri. Ini baru hanya dipanggil contoh ‘spesimen’ tetapi belum dapat dipastikan siapa yang menulis.

“Kami juga, bagi pihak ibu Zara melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini. Kami juga membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar kami sendiri dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat temu janji dengan agensi berkaitan, untuk menentukan tempat dan waktu, agar pakar tulisan tangan yang dilantik mereka dapat memeriksa dokumen berkenaan.

“Itu yang lebih baik pada pandangan saya berbanding hanya tergesa-gesa membuat kesimpulan, akan ada seseorang yang datang untuk memeriksa dokumen-dokumen ini.

“Jadi saya rasa masih terlalu awal untuk menilai isi kandungannya. Kalau dilihat tadipun, keterangan saksi hanyalah berhubung ‘spesimen’ contoh tulisan, ‘spesimen’ contoh tulisan sahaja.

“Dia tidak mengatakan dengan pasti tulisan itu milik siapa kerana beliau hanya menerima dokumen untuk diperiksa. Jadi, saya rasa masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen,” katanya.

Rizwandean berkata, langkah itu bagi memastikan tujuan inkues itu diadakan iaitu untuk mencari kebenaran mengenai punca kematian arwah Zara dapat dicapai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membawa pakar terbabit yang dijadual pada minggu depan, namun bergantung kepada Jabatan Kimia.

“Sebab kami difahamkan pihak Jabatan Kimia juga perlu hadir semasa pemeriksaan itu berlaku dan perlu pilih satu tempat yang sesuai di mana pemeriksaan itu akan dijalankan. Pakar itu dari Kuala Lumpur.

“Masalahnya pemeriksaan itu belum dibuat sebab dokumen yang dibawa hari ini pun sebenarnya kami baru terima semalam dan ada yang baru diterima hari ini.

“Selain itu, untuk berlaku adil, dokumen asal itu baru sahaja dibuka oleh saksi daripada Jabatan Kimia tadi. Jadi mungkin sebab itulah ia tidak dapat diperiksa lebih awal dan sekarang sudah ada dokumen asal, sudah dibentangkan di mahkamah, jadi bolehlah diambil oleh pakar untuk diperiksa,” katanya.

Hari ini, Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Nor memberi keterangan mengenai 21 dokumen mengandungi tulisan tangan dipercayai milik arwah Zara Qairina, masing-masing 15 helaian kertas, empat buku nota dan dua buku teks sekolah.

Selain Rizwandean, pasukan guaman mewakili ibu arwah Zara, Noraidah Lamat, turut disertai peguam Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser. – BH

More From Author

Lady Gaga ungguli MTV VMA 2025

Mahkamah keluarkan warta pihak ketiga bagi pihak berkepentingan ke atas RM169 juta milik Ismail Sabri