Arif Aiman kekal berbisa

KUALA LUMPUR: Musim baharu 2025/26 namun masih Arif Aiman Hanapi yang sama.

Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut ini tampak berjaya mengekalkan konsistensi pada musim lalu sekali gus meneruskan reputasinya sebagai antara pemain paling ‘meletup’ dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi empat perlawanan, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini beraksi dengan begitu cemerlang apabila sudah mencetak dua gol dan melakar empat bantuan gol.

Pencapaian ini meletakkan Arif Aiman sebagai pemain dengan sumbangan gol terbanyak dalam Liga Super setakat ini iaitu dengan enam gol.

Sebagai perbandingan, Arif Aiman menghimpun 14 sumbangan gol apabila meledak tujuh gol dan mencipta tujuh bantuan gol pada Liga Super 2024/25 namun berdasarkan prestasi ketika ini, tidak mustahil beliau boleh memperbaiki pencapaian yang dicatatnya pada musim lalu.

Selain Arif Aiman, dua pertahanan dilihat mencipta nama sebagai pertahanan paling ‘berbisa’ dengan mereka menjadi tonggak untuk pasukan masing-masing mendapatkan gol.

Pertahanan skuad Harimau Selatan yang juga pemain berdarah warisan negara, Jon Irazabal ketika ini berkongsi kedudukan sebagai penjaring kedua terbanyak bersama rakan sepasukan, Jairo da Silva.

Bekas pertahanan Sabah FK itu sudah meledak tiga gol, hanya satu gol di belakang penjaring terbanyak Liga Super ketika ini iaitu peledak Selangor FC (SFC), Chrigor Moraes.

‘The Red Giants’ pula boleh berbangga dengan prestasi pemain sayap belakangnya, Quentin Cheng yang berjaya mencatat empat bantuan gol dan terikat dengan jumlah bantuan gol bersama Arif Aiman.

Jika ingin melihat betapa besarnya sumbangan Quentin, beliau membantu empat daripada sembilan gol yang dijaringkan anak buah Katsuhito Kinoshi dalam saingan Liga Super setakat ini.

Di bahagian penjaga gol, penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi mencatat tiga perlawanan tanpa bolos diikuti penjaga gol Kelantan The Real Warriors (TRW), Dayman Valeriy Damyanov dan Mohd Suhaimi Hussin (Terengganu FC) masing-masing dengan dua. – BH

More From Author

Alvarez digantung 10 bulan

Pearly-Thinaah setaraf gandingan terbaik dunia