KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Warner Music Malaysia (WMM) telah menghasilkan single ‘Demi Lencana Di Dada’ nyanyian kumpulan berpengaruh Hujan.
Lagu tersebut digubah bertujuan menyemarakkan semangat bukan sahaja kepada pemain tetapi juga dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.
Bakal dilancarkan esok, ia akan dijadikan sebagai lagu rasmi skuad bola sepak kebangsaan bagi memperkuatkan semangat kesukanan dan patriotik rakyat Malaysia.
Menurut Noh, mereka menggerakkan projek ini bermula Februari lalu bagi memastikan kualiti muzik, lirik serta mesej yang disampaikan benar-benar menyentuh jiwa.
“Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua.
“Bila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar sebuah lagu, tapi satu semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebagai tanda pelancaran rasmi, lagu ini akan diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini sempena perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura.
Selain itu, lagu ini juga akan dimainkan dalam perlawanan seterusnya antara Malaysia dan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025.
Meskipun teruja apabila Hujan diberikan peluang tersebut, Noh mengakui yang mereka turut berhadapan dengan cabaran besar untuk merakamkan lagu ini.
“Bukan mudah sebenarnya mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Lagu ini bukan sekadar melodi tetapi ia adalah simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan.
“Jadi kami perlu pastikan setiap lirik dan setiap nada yang kami nyanyikan boleh membakar semangat pemain dan penyokong di stadium mahupun di rumah,” ujar Noh.
Selain menyuntik semangat perpaduan, ‘Demi Lencana Di Dada’ juga membakar semangat pemain untuk terus mengharumkan nama negara di atas padang.
“Besar harapan kami agar bola sepak Malaysia terus maju, bukan saja dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa, tapi juga dalam menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
“Bola sepak ada kuasa untuk menghubungkan kita semua, dan kami percaya dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia boleh terus melakar sejarah yang membanggakan,” tambah Noh mewakili rakan-rakan yang lain.
Sebagai rekod, ‘Demi Lencana Di Dada’ diterbitkan menerusi kerjasama antara FAM dan WMM dan ini juga merupakan lagu rasmi pertama untuk pasukan kebangsaan yang diusahakan oleh kedua-dua pihak.
Lagu ini boleh distrim di semua pelantar penstriman mulai 5 September manakala lirik video pula ditayangkan di YouTube WMM. – Majestic
