SEPANG: Semangat juang dan disiplin tinggi Toh Ee Wei sejak kecil menjadi isyarat kepada ibu bapanya untuk percaya dia menjejak pentas tertinggi satu hari nanti dan ia menjadi kenyataan apabila kini bergelar juara dunia.
Sejarah membanggakan dilakar Ee Wei bersama gandingannya, Chen Tang Jie pada Ahad lalu dengan merangkul gelaran dunia di Kejohanan Badminton Dunia di Paris.
Ibunya, Jane Yeo, 57, yang ditemui ketika menyambut kepulangan wira negara berkata, dia pada mulanya tidak pernah menjangka anaknya mampu melangkah sejauh itu.
“Sejujurnya, kami tidak sangka dia boleh pergi sejauh ini. Tetapi Ee Wei adalah seorang gadis yang sangat kuat dan mempunyai keazaman tinggi. Ketika dia berdepan kesakitannya dulu, dia benar-benar berjuang.
“Dia sangat berdisiplin dan bekerja keras. Inilah ganjaran yang selayaknya diterima atas segala penat lelahnya,” kata Jane.
Mengimbau zaman kanak-kanak Ee Wei, Jane menyifatkan anaknya sebagai seorang yang berkarakter unik, aktif, nakal dan gemar bersukan selain lebih selesa menyarung kemeja-T serta seluar pendek berbanding memakai skirt uniform sekolah kerana sifatnya yang lasak.
Sementara itu, bapa Ee Wei, Toh Kok Leong, 57, mengakui tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata tatkala lagu Negaraku berkumandang di Paris.
“Saya harap dia boleh meraih lebih banyak gelaran untuk Malaysia, dan sudah tentu kami mengimpikan dia layak ke Sukan Olimpik,” katanya. – BH
