Sophia Albarakbah bangkit lawan trauma

KUALA LUMPUR: Hikayat hidupnya tidak ubah seperti bunga yang mekar indah, namun, sebelum harum bau dinikmati, kuntumannya pernah dipijak, dilukai dan dipandang sepi.

Pelbagai ujian getir mewarnai perjalanan hidup Sophia Albarakbah, 32, pelakon kacukan Melayu, Arab dan Cina yang wajahnya kerap menghiasi layar.

Namun, di sebalik senyum manis dan raut wajah jelita yang dimilliki, siapa sangka Sophia menyimpan sejarah pilu, iaitu pernah menjadi mangsa buli sejak kecil.

Mengimbau kembali pengalaman pahit itu, Sophia mengakui dirinya pernah menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah, hanya kerana berbeza latar belakang dan rupa paras.

“Saya tidak pasti sama ada kerana sikap saya yang lembut atau kerana saya pelajar ‘mixed’ (kacukan). Tetapi, ketika itu, memang terasa pelajar lain agak ‘racist’. Mereka enggan berkawan hanya kerana saya berbeza.

“Saya masih ingat ketika darjah satu, saya mahu pinjam pensil warna daripada rakan sekelas. Namun, sebelum beri, dia bertanya sama ada emak saya bertudung atau tidak. Saya jawab iya, kerana memang ketika itu, emak baru mula mengenakan tudung.

“Namun, apa yang menyedihkan, ketika jamuan kelas pula, makanan yang saya bawa ditolak rakan. Mereka kata tidak halal. Itu sesuatu yang sangat menyakitkan hati seorang kanak-kanak.

“Apabila dewasa pula, saya berdepan dengan bentuk buli siber. Jadi, saya percaya isu buli bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku,” katanya kepada BH Online di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Shaifah Sophia Syed Abdul Rahman itu tidak menolak sifatnya yang pendiam dan pemalu sejak kecil menjadikan dirinya lebih mudah dijadikan sasaran.

“Sejak kecil, saya sukar untuk bersuara. Orang tanya nama pun saya hanya diam. Ada orang kata saya sombong, muka macam ‘resting bitch face’. Padahal saya hanya seorang ‘introvert’ yang sukar bersuara,

“Pernah juga saya menyorok di belakang kaki emak bila orang asing cuba tegur saya.

“Namun, apabila meningkat dewasa, terutama apabila mula melangkah ke industri seni, saya sedar tidak boleh terus kekal begitu. Perlahan-lahan saya belajar biasakan diri.

“Tetapi bila berdepan dengan orang yang saya tidak kenal. Saya masih cenderung untuk berdiam. Hanya apabila sudah selesa, barulah saya berani buka mulut,” katanya.

Menambah kisah lucu, Sophia turut mendedahkan pernah gagal menjadi pengawas sekolah kerana sikapnya yang terlalu lembut.

“Ibu mahu semua anak jadi pengawas kerana kakak saya aktif. Malah, kakak jadi ketua pengawas dan wakil debat. Saya pula sangat bertentangan dengan dia.

“Saya masih ingat, ketika ditemu bual guru untuk jawatan pengawas, cikgu kata saya terlalu lembut. Malah, katanya, suara pun tidak kedengaran. Jadi, tidak layak jadi pengawas. Kakak balik beritahu ibu, katanya, cikgu gelarkan saya ‘lembut macam tofu’.

“Saya pula lega sebab memang tidak mahu pun jadi pengawas,” katanya sambil ketawa kecil.

Jika dahulu Sophia berdepan ejekan kanak-kanak, kini dia diuji dengan serangan siber yang lebih kejam. Hinaan, gangguan seksual, ugutan dan semua itu menjadi realiti pahit yang perlu ditelan sebagai figura awam.

Sehingga ke tahap, Sophia terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan diri.

“Secara jujur, saya akui belum betul-betul pulih. Tetapi, saya selalu ingatkan diri, saya tak boleh biarkan diri ‘jatuh’ terlalu lama kerana banyak kerja menanti. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain hanya kerana saya terlalu larut dalam kesedihan.

“Syukur, keluarga dan pengurus sentiasa ada memberi sokongan. Mereka bantu saya rasa sedikit lega. Saya takut kalau terlalu lama membiarkan perasaan itu, boleh jatuh ke fasa depresi.

“Jadi, sekarang saya cuba fokus pada perkara positif dan elak baca komen negatif,” jelas pelakon yang namanya mula dikenali menerusi filem Mimaland itu.

Sophia turut mengakui masih trauma untuk keluar bersendirian, apatah lagi selepas berdepan siri gangguan siber sejak kebelakangan ini.

“Saya masih rasa tidak selamat untuk keluar seorang diri. Kalau terpaksa keluar, saya akan pastikan ada teman seperti rakan atau pembantu peribadi.

“Kalau ke tempat awam pula, saya tutup wajah dan pakai pelitup. Tapi walaupun berpelitup, masih ada yang kenal saya. Sebab itu, saya lebih selesa menghadkan kemunculan di khalayak hanya pada acara rasmi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Sophia berkata, belum ada keperluan melantik pengawal peribadi kerana bimbang kehadiran mereka hanya akan menambah perhatian yang tidak diingini.

Meski emosi diuji, Sophia kekal profesional dalam kerjaya. Bermula dengan filem Mimaland, dia semakin mengukuhkan nama dengan naskhah seperti Jiwa 8 Belas, Jerangkung Dalam Almari, Saka Perawan, Reeza GTR dan Harimau Malaya.

Terbaharu, Sophia bakal menghiasi pawagam menerusi filem sains fiksyen Abu Si Raksasa pada 11 September ini, selain muncul dalam drama Bukan Salahku.

“Ini kali pertama saya berlakon filem sains fiksyen. Saya teruja kerana naskhah ini sesuai untuk tontonan keluarga, terutama kanak-kanak.

“Tambah pula, filem itu ditayangkan sempena cuti sekolah, saya harap sambutannya positif,” katanya.

Filem arahan Ramdan Che Hassan itu menampilkan barisan pelakon seperti Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Datin Seri Maria Farida. – BH

More From Author

Tiada masalah benam Singapura, Palestin – Fauzi

Jom bantu cari Rehnusureyen, hilang sejak 30 Ogos