KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan bakal beraksi dalam dua perlawanan persahabatan berdepan Singapura dan Palestin pada jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membuka tirainya, esok.
Justeru, pengendali, Peter Cklamovksi memanggil 29 pemain untuk menyertai kem latihan pusat di mana beliau mengekalkan 25 pemain dari skuad menentang Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu.
Cklamovksi turut memanggil empat muka baharu iaitu Sergio Aguero, Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Richard Chin bagi persiapan sebelum menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini dan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, 8 September.
Mengulas mengenai pemilihan pemain, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus melihat skuad yang dipanggil kali ini seharusnya tidak berdepan masalah untuk meraih keputusan positif dalam kedua-dua aksi terbabit.
Jelasnya, tiada rombakan besar memberi petanda Cklamovksi percaya kepada kemampuan pemain yang ditunjukkan ketika berdepan Vietnam sebelum ini sekali gus momentum sama dapat dikekalkan dalam misi memburu mata ranking FIFA.
“Mungkin cabaran yang ada adalah kerana liga kita baru sahaja bermula dan pemain ‘lambat panas’ kerana kurang momentum untuk aksi antarabangsa. Tetapi ada juga kelebihan kerana kita lihat ramai pemain JDT dipanggil.
“Bagi saya, ini satu skuad yang baik dan secara umumnya jika kita melihat di atas kertas, skuad negara boleh mendapatkan keputusan yang positif.
“Dengan adanya tujuh pemain berpangkalan di luar negara, lonjakan prestasi amat diharapkan dan Cklamovksi pasti ada perancangan terbaik untuk mengendalikan dua perlawanan ini,” kata Fauzi.
Dalam perkembangan sama, Fauzi juga melihat Cklamovksi perlu memanfaatkan dua perlawanan ini untuk menguji pemain simpanan sekali gus memberi pilihan yang lebih banyak sebelum mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober dan November.
“Satu percaturan yang baik jika Cklamovksi memberi peluang kepada pemain yang jarang beraksi dalam skuad kebangsaan bagi menilai sejauh mana tahap dan prestasi mereka di pentas antarabangsa.
“Ini sangat penting bagi memastikan semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan perancangan jurulatih, tidak hanya kepada pemain ‘regular’ semata-mata.
“Kita mahu semua pemain menunjukkan persembahan yang konsisten kerana apabila mereka diturunkan nanti, semua pemain dapat menunjukkan aksi pada tahap yang sama,” katanya. – BH
