Siasatan program eHati: 40 individu sudah diambil keterangan termasuk peguam, doktor

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memanggil 40 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga eHati.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata mereka termasuk golongan profesional seperti peguam dan doktor selain pasangan suami isteri yang juga penganjur program.

“Di pihak JAIS, siasatan dijalankan sekiranya ada doktrin-doktrin yang salah telah diamalkan oleh kumpulan berkenaan. Kita telah memanggil lebih kurang 40 orang saksi bagi tujuan kenyataan mereka direkodkan.

“Buat masa ini, siasatan masih diteruskan sebelum dihantar ke pihak pendakwaan syariah untuk tindakan selanjutnya sama ada terdapat elemen-elemen kesalahan dibawah Enakmen Jenayah Syariah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Salehuddin berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam siasatan kes eHati itu adalah mendapatkan keterangan daripada saksi atau individu yang menyertai program berkenaan.

Katanya, ia berikutan ada peserta yang tidak mahu tampil susulan ia boleh membongkar aib mereka apabila dikatakan berkaitan seksual.

“Saya difahamkan pada asalnya program ini lebih kepada kegiatan melibatkan rumah tangga antara suami isteri. Cara macam mana nak perbaiki hubungan suami isteri. Tetapi kemudiannya apabila dapat laporan, lain jadinya.

“Bila masyarakat mula bersuara dan ahli dalam eHATI juga telah menyuarakan apa mereka lakukan bertentangan undang-undang dan agama, maka kena ambil tindakan untuk menyiasat bagi memastikan kebenaran apa yang telah ditohmahkan,” katanya.

Salehuddin turut menafikan pihaknya melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melenggahkan kertas siasatan yang menjadi isu kepentingan awam tersebut.

“Kita sentiasa berpegang fakta bahawa kalau benar, benarlah ia. Kalau dia melakukan sesuatu kesalahan, undang-undang membenarkan tindakan diambil.

“Maka, tindakan tidak akan kita lenggahkan. Cuma bila kita mahu ambil tindakan, kita kena pastikan bahawa ia diambil dengan betul dan tidak mahu dikatakan terburu-buru.

“Bila kalah, orang kata JAIS dan MAIS tidak berhati-hati untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya. – BH

More From Author

SAJI kembali dengan kempen STKM, cerminan sebenar keharmonian Malaysia

Gempa bumi di Segamat: Tiada jalan raya Persekutuan rosak – Menteri Kerja Raya