SEREMBAN: Seorang guru sekolah menengah di Pedas, Rembau, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul murid perempuan kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun, pada April dan Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berkeperluan khas ketika kejadian bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika dalam kelas di sekolah berkenaan pada April lalu dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun serta boleh disebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama bagi tujuan seksual kira-kira jam 9.30 pagi ketika dalam bilik spa sekolah sama pada 16 Mei lalu, yang sabit kesalahan boleh dipenjara melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi murid berkeperluan khas berusia 15 tahun bagi tujuan seksual kira-kira jam 10.40 pagi di bilik spa sekolah sama pada 5 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam P Bhaerabii yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya mengalami masalah gangguan keresahan dan semakin teruk selepas dituduh kali pertama pada bulan lalu.
Beliau berkata, anak guamnya sudah membayar jaminan pada pertuduhan lalu dan menunjukkan rekod kerjasama serta kehadiran yang baik.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan, dilarang mendekati saksi serta menyerahkan pasportnya, selain sebutan semula kes itu pada 29 September. – BH
