KUALA LUMPUR: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dilihat sebagai satu di antara usaha yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuhkan aspek keselamatan di institusi pendidikannya.
Menteri berkaitan Fadhlina Sidek menegaskan, usaha bagi memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab bersama.
“Pada waktu ini, KPM turut sedang melaksanakan beberapa usaha penting bertujuan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di institusi pendidikan.
“Ini termasuk dengan melaksanakan audit keselamatan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) berkenaan usaha bagi menangani salah laku buli.
Pada masa sama, Fadhlina turut mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi menambah baik aspek keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.
“Saya akan meneliti semua cadangan termasuk yang terkait dengan sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan ibu bapa, pemantauan di institusi pendidikan.
“Selain pelan anti-buli dan pelaksanaan langkah-langkah lain untuk menangani salah laku buli,” katanya lagi. – Majestic
