JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor melancarkan kempen anti buli bagi membanteras tindakan buli daripada membarah dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, inisiatif itu memdapat sokongan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Isu ini bukan sahaja mengancam keselamatan, malah juga berpotensi meranapkan masa depan generasi pewaris Bangsa Johor.

“Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, emosi atau siber adalah satu perbuatan zalim. Ia meruntuhkan jiwa, melemahkan semangat dan membunuh potensi anak-anak kita.
“Buli tetap buli, di mana sahaja ia berlaku. Dan ia mesti ditentang tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Onn Hafiz menegaskan, kerajaan negeri akan memperkukuh dasar serta inisiatif pencegahan menerusi kerjasama strategik dengan pihak sekolah, agensi berkaitan dan masyarakat.
“Setiap generasi muda di Johor berhak menikmati suasana hidup, pembelajaran dan pekerjaan yang selamat, damai dan sejahtera,” katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjadi mata dan telinga masyarakat dan menyalurkan maklumat menerusi talian disediakan. – Majestic