SEOUL: Bekas pemain Manchester United, Jesse Lingard, meraih anugerah besar pertamanya sejak membuat perpindahan mengejut ke kelab Korea Selatan, FC Seoul, 18 bulan lalu.
Lingard, 32, membuat keputusan luar jangka meninggalkan Eropah selepas 11 tahun bersama United, kelab yang diwakilinya sejak zaman akademi.
Aksi terakhirnya di England adalah bersama Nottingham Forest pada musim 2022-23, apabila dia membuat 17 penampilan Liga Perdana Inggeris.
Selepas dilepaskan Forest, Lingard kembali ke kancah bola sepak dengan menyertai FC Seoul pada Februari 2024, dalam perpindahan yang digelar sebagai paling bersejarah dalam saingan K-League.
Bulan lalu, Lingard tampil cemerlang dengan menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan, sekali gus dua kali meraih Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.
Dia juga memenangi Anugerah Pemain Terbaik Mingguan, sebelum dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga.
Perpindahan Lingard pada awalnya menerima kritikan, malah dia sendiri pernah berdepan ejekan di media sosial.
Awal tahun ini, Lingard membalas kecaman seorang penyokong United yang menuduhnya, bersama Marcus Rashford dan Paul Pogba, ‘merosakkan budaya’ kelab.
Lingard pantas mempertahankan dirinya dengan menulis: “Sila jelaskan bagaimana saya, Paul dan Marcus merosakkan budaya Manchester United?
“Kami hanya menikmati kehidupan ketika mewakili kelab terbesar dunia. Sudah tentu kami buat kesilapan, tapi kami belajar dan tetap mahu tersenyum, bergembira serta menari.”
Bekas bintang England itu memang sering dikritik kerana prestasinya yang tidak konsisten di Old Trafford, terutamanya pada penghujung kariernya di sana.
Namun, selepas permulaan yang sukar di Seoul, dia berjaya bangkit dan kini pernah beberapa kali menyarung lilitan ketua pasukan.
Lingard turut memuji jurulatihnya, Kim Gi-dong, yang disifatkan memiliki pemahaman bola sepak cukup tinggi dan mengurus pasukan dengan pelan jelas.
“K-League kini semakin menarik perhatian penyokong. Saya harap semua yang terlibat, termasuk barisan kejurulatihan, pemain dan pengurusan kelab, tidak mudah berpuas hati dengan suasana ini, sebaliknya terus melangkah lebih jauh,” kata Lingard. – AGENSI
