KUALA LUMPUR: Selepas hampir sedekad mengorak langkah dalam dunia seni, penyanyi bersuara lantang, Ara Johari, menyimpan impian besar untuk melihat namanya terukir di pentas berprestij, Anugerah Industri Muzik (AIM).
Namun, hasrat itu berkecai apabila lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) gagal menempatkan diri dalam senarai Top 5 AIM 24 berikutan kesilapan teknikal.
Lebih memeritkan, lagu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso, yang sudah pun meraih lebih 20 juta tontonan di YouTube, sebenarnya berpotensi besar untuk bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.
Pengurus Ara, Mohd Asrul Abdul Talib, mengakui kecewa dengan insiden yang berlaku kerana ini sepatutnya menjadi penyertaan sulung Ara dalam AIM.
“Memang Ara sangat kecewa bila lagu itu langsung tak dicalonkan hanya sebab kesilapan teknikal.
“Kami pun baru tahu MJOL tak masuk senarai selepas undian ditutup. Lagi terkilan sebab ini sepatutnya kali pertama Ara bertanding di AIM, selepas hampir 10 tahun dalam industri.
“Kesilapan macam ini memang tak patut berlaku. Tapi nak buat macam mana, undian pun dah ditutup,” kata Asrul yang turut kecewa.
Bagi Asrul, pengalaman ini menjadi pengajaran besar buat pasukan Ara.
Katanya, mereka mungkin akan lebih berhati-hati dan menguruskan sendiri proses pencalonan selepas ini bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Walaupun hati remuk, Ara enggan menyalahkan sesiapa. Baginya, apa yang berlaku adalah takdir.
“Kami tak mahu tuding jari pada sesiapa sebab benda pun dah jadi. Top 5 pun dah diumumkan, jadi tak ada gunanya nak besarkan isu.
“Kami anggap tiada rezeki kali ini. Tak guna nak besarkan isu sebab Top 5 sudah diumumkan. Walaupun kecewa, semangat Ara tidak akan patah,” kata Asrul lagi.
Senarai Top 5 kategori berkenaan akhirnya menyaksikan Masing-Masing (Ernie Zakri), Sejarah (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Dursila (Meisks), Cinta Tak Pernah Tepat Waktu (Aina Abdul feat Fabio Asher) dan Naluri (Sekumpulan Orang Gila feat Boniex For Revenge) berjaya melangkah ke peringkat akhir.
AIM 24 bakal berlangsung pada 13 September depan, menjanjikan malam penuh berprestij yang terus mengiktiraf karya terbaik industri muzik tanah air. – BH
