Penganggur didakwa bakar lori tunda MBJB

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jumaat lalu.

Tertuduh, Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api, iaitu minyak petrol dengan niat  mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM24,000 di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront, di sini pada pukul 11.07 pagi, 15 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika diminta menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu di mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu memaklumkan ia tidak dapat dikemukakan.

Mahkamah menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sehingga esok bagi membolehkan rakaman CCTV kejadian dikemukakan dan dimainkan di mahkamah.- Majestic

More From Author

Buli: Laksana penguatkuasaan lebih ketat, jadikan sekolah kawasan selamat – Tunku Mahkota Ismail

Izzul Islam trauma, rasa tak selamat nak pergi sekolah