KUALA LUMPUR: Seramai 98 warga Bangladesh dihalang memasuki Malaysia selepas gagal mematuhi syarat kemasukan dalam operasi pemeriksaan awal pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA Terminal 1, hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, operasi dijalankan dari jam 1 pagi hingga 7.30 pagi itu turut menyaksikan seramai 181 pelawat asing diperiksa dan disoal siasat.
Menurutnya, sebahagian daripada mereka dikesan sebaik sahaja mendarat menerusi penerbangan dari Dhaka pada awal pagi.
“Ketibaan melalui penerbangan pada lewat malam atau awal pagi dipercayai bagi mengelak pemeriksaan berterusan oleh AKPS pada waktu siang.
“Antara punca penolakan kemasukan termasuk penggunaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket pulang serta kegagalan membuktikan kemampuan kewangan,” katanya.
Kenyataan itu menyebut kesemua mereka dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah.
Menurut kenyataan itu lagi, kawalan pintu masuk akan terus diperketat, operasi pemantauan diperkukuh, dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak.
“Tindakan tegas tanpa kompromi ini juga fokuskan kepada anggota yang bersubahat membawa masuk warga asing secara tidak sah.
“AKPS KLIA akan terus mengesan, menahan, dan menghantar pulang pelawat asing yang tidak layak memasuki negara demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara,” katanya. – BH
