JOHOR BAHRU: Golongan dewasa disaran menjadi contoh teladan kepada remaja dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan, bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, malah turut memupuk kecintaan yang mendalam terhadap negara.
Pandangan itu disuarakan oleh Awang Sebawi Awang Halil, 63, yang berasal dari Sri Aman, Sarawak ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Rahmat, di sini.
Menurutnya, semangat patriotisme yang kukuh perlu ditunjukkan secara konsisten supaya generasi muda dapat mencontohinya.

“Bendera bukan sekadar hiasan. Ia melambangkan perpaduan, pengorbanan dan identiti negara. Saya sarankan setiap rakyat Malaysia mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera pada kenderaan masing-masing sebagai tanda sokongan sempena bulan kemerdekaan,” katanya.
Awang Sebawi dan isterinya, Fadzillah Daud, 53, menjadikan kediaman mereka sebagai simbol semangat patriotik sejak lapan tahun lalu.
Setiap tahun, rumah mereka dihiasi puluhan bendera pelbagai saiz dan warna, termasuk Jalur Gemilang serta bendera 14 negeri.
Bapa kepada tiga anak ini berkata, walaupun tidak semua jiran aktif menghias rumah, beliau sentiasa memberikan dorongan untuk mereka turut mengibarkan bendera, malah, sering membelikan bendera kecil untuk diagihkan kepada jiran dan sahabat terdekat.

“Saya percaya kalau kita mulakan, lama-lama orang lain akan ikut. Kadang-kadang mereka malu atau tidak sempat beli bendera. Jadi, saya sediakan untuk mereka, yang penting semangat itu hidup,” katanya.
Kini, koleksi bendera di rumahnya kira-kira 300 helai, merangkumi bendera pelbagai saiz dari seluruh negara. Sebahagian daripada koleksi itu disimpan khas untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya yang tidak berpeluang memiliki bendera sendiri.
Bagi Awang Sebawi, usaha mengibarkan bendera hanyalah salah satu cara memupuk patriotisme kerana yang lebih penting ialah mendidik generasi muda memahami sejarah, menghargai keamanan, dan menghormati pengorbanan pejuang terdahulu.
“Kalau kita hanya kibar bendera tetapi tidak faham maknanya, semangat merdeka itu tidak akan kekal. Golongan dewasa perlu tunjukkan bahawa cinta pada negara adalah menerusi tindakan, bukan kata-kata semata-mata,” katanya. – Majestic
