KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan terbaru itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan.
Katanya, keperluan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM (polis Diraja Malaysia) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya melalui kenyataan hari ini.
AGC juga berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Ia setelah AGC meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya.
BH baru-baru ini melaporkan ibu kepada Zara, Noraidah Lamat, 45, memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan.
Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.
Bagaimanapun, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis berhubung kematian pelajar sekolah agama yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata laporan siasatan itu diserahkan pihaknya kepada polis semalam untuk pihak berkuasa itu melengkapkan siasatan.
Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – BH
