KOTA BHARU: Suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama tiga yang lain dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas lima jam memberi keterangan kepada pihak polis.
Proses memberi keterangan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPJK) negeri bermula jam 2 petang tadi, sebelum berakhir kira-kira jam 7 petang.
Empat individu itu dilihat keluar dari perkarangan IPK Kelantan jam 7.05 malam, sebelum pulang ke kediaman bersama keluarga masing-masing.
Terdahulu, Mohd Affendi bersama Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dihantar kakitangan Pejabat Imigresen Golok ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang jam 11.15 pagi.
Mereka kemudian dibawa polis ke IPK Kelantan untuk direkod keterangan dan menjalani ujian air kencing.
Sebelum ini, empat individu itu bersama dua yang lain dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Dua lagi adalah penyanyi dikir barat moden kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail dan dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, yang dibenarkan pulang ke Kelantan malam tadi selepas selesai memberi keterangan selama lebih tiga jam di Balai Polis Rantau Panjang.
Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.
Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah. – BH
